TAKLIM: ADAB-ADAB DAN KELEBIHAN:

TUJUAN TAKLIM:
Untuk kita mendengar berulang-ulang kali kalamullah dan kalamur rasul kisah-kisah sohabat dan kisah para salafus soleh sehingga Allah taala mengurniakan kepada kita NUR yang akan mendatangkan hidayah sejati, semangat dan kekuatan untuk kita mengamalkan secara sempurna akan perintah-perintah Allah mengikut cara Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
FADHILAT TAKLIM
1. Tidak ada jemaah yang duduk sambil mengingati Allah melainkan dikerumunilah mereka oleh malaikat, diliputi mereka dengan rahmat, diturunkan keatas mereka ketenangan dan Allah taala menyebut nama-nama mereka dihadapan para malaikat yang berada disisinya.
2. Orang-orang yang berkumpul untuk mengingati Allah taala hanya dengan tujuan mendapatkan keredaanNya maka satu malaikat akan mengumumkan di langit bahawa dosa-dosa kamu telah diampunkan dan kejahatan-kejahatan kamu telah diganti dengan kebajikan.
3. Mereka-mereka yang keluar untuk menuntut ilmu 70,000 malaikat menghamparkan sayap di bawah telapak kakinya.
4. Setiap makhluk Allah baik ikan di laut, semut di lembah, burung di udara akan berdoa dan memohon keampunan keatasnya.
5. Ilmu tanpa zikir adalah lebih merbahaya dari kejahilan, zikir tanpa ilmu adalah lebih merbahya dari kelalaian.
ADAB-ADAB TAKLIM:
Taklim adalah satu amalan yang amat penting dan utama. Jika kita menghadirinya dengan menghormati adab-adabnya yang sempurna nescaya majlis itu akan dilingkungi oleh para malaikat, dengan itu ahli majlis akan mendapat taufik untuk mengamalkan hakikat ugama yang sebenarnya.
1. Berwuduklah terlebih dahulu dan jika mampu maka solah dua rakaat memohon kekuatan dan kemanisan dalam mendengar kalamullah dan kalamur rasul.
2. Duduklah dengan perasan hormat yang paling tinggi, sebaik-baiknya duduk secara tahiyat dan jangan sekali-kali duduk bersandar.
3. Jangan tinggalkan majlis kerana desakan tabiat kita. Jika terpaksa maka segerakanlah sempurnakan keperluan dan duduk semula ke dalam majlis dengan rasa rugi kerana kita tidak tahu di masa bilakah Allah Taala akan memasukkan NUR ke dalam hati kita.
4. Janganlah berbual-bual semasa taklim sedang berjalan.
5. Pakailah wangi-wangian dan pakaian yang bersih dan sempurna.
6. Duduk rapat-rapat dan mengangkat muka memandang ke arah pembaca taklim.
7. Janganlah bermain-main dengan jari, janganlah mata liar memandang ke sana sini dan janganlah fikiran mengelamun ketempat lain.
8. Syaitan menggunakan tiga alatnya untuk mengganggu kita dari mendapat menafaat yang sebenarnya dari majlis taklim iaitu tongkat digunakan supaya kita tidak senang duduk, gincu supaya kita hendak bercakap sahaja dan celak supaya kita rasa mengantuk.
9. Hadirkan hati dengan lima cara:
a. Tasdiq ertinya membenarkan kalamullah dan kalamu rasul.
b. Ta'zim ertinya memulia dan merasakan kehebatan majlis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
c. Taasur ertinya mendatangkan kesan harap dan takut terhadap janji Allah.
d. Tawajjuh ertinya memberi sepenuh perhatian di dalam majlis.
e. Tabligh ertinya berniat untuk beramal dan sampaikan kepada seluruh ummat.
10. Pembaca Taklim hendaklah membaca dengan kuat dan jelas dan tidak perlu mengemukakan pendapatnya sendiri. Tetapi di dalam memberi galakkan orang ramai untuk beramal maka sepatah dua kata dibolehkan.
11. Taklim dimulakan dengan membaca kitab fadhail al-quran, kemudian hendaklah mengadakan halqah tajwid supaya dapat membaiki bacaan terutamanya surah-surah lazim dibaca di dalam solah.
12. Usahakan supaya dapat membaca tiga-empat muka surat pada semua kitab fadhail.
13. Setelah selesai taklim kitabi hendaklah diadakan muzakarah enam sifat sohabat dalam masa lebih kurang satu jam.

Comments

Popular Posts