18 February 2009

Jiwa Da’ie Otak Faqih



Semasa hayat حسن البننا, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?

Kata حسن البننا, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”

Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.

Lantas حسن البننا menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.

Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Da’i Otak Fiqh. Bagi kita yang berperanan sebagai Da’i, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi s.a.w. untuk para Da’i. Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda SAW menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi, “Seek First to Understand, Then to be Understood“.

Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa. Dalam isu حسن البننا, jiwanya sebagai seorang Da’i tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR. Ini bukannya masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadith.

Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para ustaz yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…”

Seorang Da’i yang berjiwa Da’i akan belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dia bawa. Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?

Saya selalu terkenang dialog saya ketika bertemu dengan seorang anak gadis kita yang telah 10 tahun membesar di England. Semenjak usianya 10 tahun dan kini telah mencecah 20 tahun, beliau dibesarkan di Boarding School, jauh dari alam Melayu malah Islam barangkali. Dia mengajukan soalan kepada saya, “do you believe in wearing scarf for Muslim girl? I don’t believe in wearing scarf. I don’t want to wear scarf.”

Soalannya amat provokatif. Dia juga bertanya soal kenapa mesti solat, kenapa tidak boleh bela anjing di rumah dan sebagainya. Seandainya saya mengambil pendekatan ’seorang ustaz’, mungkin saya akan menjelaskan ayat-ayat al-Quran dan Hadith berkaitan kewajipan bertudung dengan panjang lebar dan penuh nota kaki. Akhirnya saya sahaja yang akan kagum dengan diri sendiri terhadap betapa banyakkan dalil yang berjaya saya ingat dan bentangkan dengan fasih! Gadis tersebut mungkin menguap dan menutup telinganya sambil menanti saya mengangkat punggung dan beredar.

Tetapi saya cuba membawa gadis tersebut ke persoalan yang lebih pokok. Saya sebutkan kepada gadis tadi, “semua soalan anda tadi adalah persoalan kelapan dan kesembilan kita. Ada persoalan awal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu”.

“Oh begitu. Baik, apa persoalan utama awak?”, tanya gadis tadi.

“Menyelesaikan persoalan TUJUAN HIDUP!” jawab saya.

“Penting sangatkah nak tahu tentang tujuan hidup?”, tanyanya lagi.

“Cuba awak bayangkan, kita adakan permainan bola sepak, tetapi di padang bola tiada tiang gol! Atau awak main golf tetapi tidak tahu di mana lubangnya. Apa rasanya kalau awak terlibat dalam permainan seperti itu?”, saya menguji.

Silly game.. mengarut!”, ujarnya sambil tersengih.

Well, kita mungkin ketawakan mereka yang main bola atau golf begitu, tetapi sebenarnya kita sedang ketawakan ramai manusia yang hidupnya tiada tiang gol dan tiada lubang golf. Betul tak?”, saya menyoalnya. Dia menggangguk.

“Kalau kita tak tahu tujuan hidup kita yang sebenar, bagaimana kita nak fokus dan membuat prioriti? Saya yakin saudari boleh setuju bahawa kegagalan untuk fokus dan membuat prioriti, pasti mengundang kegagalan. Awak setuju?”, saya meneruskan perbualan.

“Ya, saya boleh bersetuju.”, jawabnya.

“Apa tujuan hidup awak?”, saya menyoal.

Jadi, apa tujuan hidup awak?”, beliau bertanya kepada saya.

“Saya nak berjaya dalam kerjaya dengan pendapatan jutaan Pound setahun.”, katanya dengan yakin.

“Bagi kita yang belum dapat pendapatan begitu, mungkin kita sangka itu tujuan hidup kita. Tapi bagi yang dah dapat, macam jutawan-jutawan dunia yang kita kenal, ketika mereka sampai ke puncak yang didaki, rupa-rupanya jiwa mereka masih kosong dan mereka masih terus bertanya, apakah untuk ini aku hidup? Akhirnya ramai di kalangan mereka yang gagal dalam rumah tangga walaupun berjaya mengurus syarikat, malah ada yang membunuh diri. Awak rasa itu kejayaan ke?”, saya bertanya kepadanya lagi.

“Hmm…”, sepi tanpa jawapan…

“Habis, apa tujuan hidup awak?”, gadis itu bertanya kepada saya.

“Hmm, awak rasa, saya ada ke jawapannya? Awak ada jawapannya? Saya rasa kita sama-sama tak ada jawapan sebab TUJUAN HIDUP kita telah ada sebelum kita lahir. Jika kita tanya lampu ni kenapa dia diciptakan, andai dia boleh menjawab, mungkin dia tidak tahu kenapa dia berada di sini. Logiknya kita kena tanya kilang yang membuat lampu itu tadi. Dan kalau kita tanya ke kilang, mereka akan memberikan koleksi soalan dan jawapan di dalam sebuah KITAB bernama Instruction Manual.

Begitulah juga dengan manusia. Jika mahu kepada jawapan, kenalah tanya kepada Tuhan yang menciptakan manusia iaitu Allah. Dan Allah telah memberikan kepada kita koleksi soalan dan jawapan di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama…”

Al-Quran! What does the Quran say about our PURPOSE OF LIFE?”, gadis tersebut mengacukan soalannya.

“DAN tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka beribadah dan mengabdikan diri kepadaKu. Surah al-Dzariyat ayat 56″. Jawabku.

Lantas saya mengambil peluang untuk menjelaskan secara ringkas kepada beliau konsep ibadah dalam Islam. Bahawa selain solat dan ibadah khusus yang lain, apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan jika memenuhi kriteria Islam, maka ia jadi ibadah. Dan akhirnya saya membuat kesimpulan berikut:

“Seandainya saudari boleh menerima hakikat yang saudari perlukan Tuhan dalam hidup ini, maka barulah saya boleh menjawab soalan kenapa kita kena sembahyang. Kita perlu sembahyang kerana kita perlukan Tuhan dalam hidup ini…

Jika saudari boleh bersetuju dengan kewajipan sembahyang, maka barulah saya boleh terangkan kenapa saudari kena pakai tudung. Analoginya jika kita mengadap Yang Di Pertuan Agung pun ada kod berpakaian, dan itu haknya kerana dia ketua pemerintah negara. Maka apatah lagi untuk menghadap Allah di dalam sembahyang dan di luar sembahyang, tentunya kita kena bertudung kerana itu kehendak Dia.

Dan jika awak setuju sampai ke situ, saya boleh jelaskan kenapa Islam tidak benarkan kita bela anjing. Islam cuma mengajar, andai dijilat anjing, samaklah dengan air dan tanah. Tetapi Islam tidak pernah mengajar kita supaya membenci anjing dan memukulnya. Itu semua soal adat sahaja!”, saya mengakhiri penerangan terhadap semua persoalan yang tertangguh.

Alhamdulillah dalam tempoh sejam pertemuan saya dengannya, itulah hasil perbincangan kami. Walaupun kesannya saya tidak pasti tetapi sekurang-kurangnya saya sudah mencuba untuk menghadapi mad’u saya dengan Jiwa Da’i Otak Faqih dan tidak sebaliknya. Gadis itu ada latar belakang keluarga yang berbeza. Dia bukan seperti saya dan kehidupan saya. Kerana itulah saya mesti terlebih dahulu cuba belajar untuk memahami keadaan dia sebelum memutuskan apakah pendekatan dakwah yang patut saya ambil. Andai saya hamburkan kemarahan atas provokasi gadis tadi, tentulah perbualan kami terhenti di situ dan saya sekadar menggelengkan kepala sambil tersenyum secara sacarstic, “inilah perangai bebudak sekarang!”

Rujukan ABU SAIF

HIJRAH MEMBAWA KEKUATAN UMMAH


Penghijrahan kaum Muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah adalah merupakan satu dimensi baru kepada dakwah Islamiah dan seterusnya penghayatan kepada ajaran Islam yang sebenar. Penghijrahan umat Islam dari suasana yang lama iaitu Mekah kepada satu suasana baru iaitu Madinah adalah detik terpenting kepada pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia.

Penghijrahan yang merupakan proses kematangan penyebaran risalah Allah s.w.t ini tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru. Sejarah telah menukilkan bagaimana Rasulullah s.a.w menanamkan benih-benih perpaduan, persaudaraan, tolong menolong, pengorbanan, kesungguhan, kecintaan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah unsur-unsur terpenting bagi umat Islam ketika itu sebagai persediaan menghadapi cabaran dan ujian yang datangnya sama ada dari kaum Musyrikin Quraisy, golongan munafik, tipu daya iblis atau dari nafsu di dalam diri mereka sendiri.

Firman Allah di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ



Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah akan menolong kamu dalam mencapai kemenangan, serta meneguhkan tapak pendirian kamu. Muhammad, ayat 7.

Demikianlah keadaan kita umat Islam masa kini. Perubahan zaman, tamadun, budaya dan teknologi manusia hari ini yang begitu pantas sebenarnya menghambat umat Islam melakukan persediaan dan persiapan yang mantap bagi menghadapi perubahan dan kejutan tersebut. Ini penting bagi memastikan dakwah Islamiah dan perjuangan menegakkan Syiar Islam sentiasa lancar, maju dan berjaya di tengah-tengah arus perubahan dunia.

Perubahan teknologi dan kemajuan manusia yang begitu pesat benar-benar meletakkan umat Islam berada dalam keadaan tiada pilihan selain dari menyiapkan barisan pelapis generasi muda bukan setakat menghadapi ledakan perubahan bahkan meneruskan perjuangan memartabatkan Islam sebaga sebagai satu cara hidupi muka bumi Allah ini.

Merujuk kepada ciri-ciri hijrah bentuk baru yang perlu ditampilkan, penghijrahan nilai, etika dan peradaban hidup perlu diberi perhatian khusus dalam membentuk sebuah negara menuju alaf baru dan sejahtera. Tiada gunanya kita maju ke hadapan dalam bidang teknologi dan kecanggihan maklumat, tetapi jiwa kita kering kontang dan senang dibawa arus hawa nafsu yang dikepalai oleh iblis dan syaitan. Kita perlu wujudkan keseimbangan kemajuan di sudut rohani dan jasmani.

Dunia tanpa sempadan, perdagangan elektronik, era digital, teknologi maklumat, jenayah siber, perlumbaan ilmu, kuasa ekonomi, kekuatan teknologi dan banyak lagi adalah cabaran yang hanya mampu diharungi oleh generasi umat yang bersedia dari segi mental, fizikal dan spiritual dalam melangkah menuju ke alaf baru. Penghayatan kepada pengajaran di sebalik peristiwa hijrah dan bersesuaian dengan fenomena sekarang, maka umat Islam perlu kepada kekuatan yang berupa keyakinan, kematangan, ilmu, kecekalan, kesungguhan dan kesatuan. Inilah unsur-unsur yang perlu dimiliki dan dibentuk kepada generasi umat Islam sekarang dalam meneruskan perjuangan risalah Islam dalam arus perubahan alaf baru.

Perjuangan meneruskan misi Rasulullah s.a.w di muka bumi ini iaitu meninggikan kalimah Allah sehingga menjadi rahmat kepada sekalian alam, memerlukan keyakinan yang tinggi dan mantap. Generasi ummah perlu yakin bahawa berbekalkan keimanan, semangat jihad dan panduan berasaskan al-Quran dan as-Sunnah maka sudah pasti perjuangan menyampaikan risalah Islam akan berjaya dan mendapatkan pertolongan serta inayah daripada Allah s.w.t. Keyakinan yang bertitik tolak dari kefahaman Islam yang sebenar berteraskan akidah tauhid adalah sumber kekuatan menempuh pelbagai perubahan hidup dan sistem masyarakat dunia. Bahkan dengan keyakinan ini juga, generasi pelapis akan melihat perubahan-perubahan yang pesat berlaku itu bukanlah halangan yang membantutkan perjuangan, akan tetapi merupakan peluang yang mesti direbut bagi menjayakan pelaksanaan tanggungjawabnya sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Oleh itu, maka generasi muda umat ini perlulah memantapkan kefahaman mereka menerusi akidah tauhid menerusi mendalami ilmu agama, penghayatan al-Quran, mengkaji sejarah dan perjuangan Rasulullah s.a.w, perbincangan ilmiah sesama para cendekiawan Islam dan yang lebih penting menguatkan hubungan dengan Allah dengan membanyakkan solat, doa, dan ibadat-ibadat sunat.

Jika generasi Islam ini mempunyai keyakinan, pasti jalan-jalan menuju kejayaan akan terbentang. Penghijrahan minda umat ini perlu dilakukan agar berani menghadapi cabaran terutama dengan kewujudan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang memerlukan tenaga mahir dalam bidang teknologi maklumat. Amat menyedihkan jika MSC dipenuhi dengan wajah-wajah orang asing yang mengaut keuntungan sedangkan bangsa kita terpinggir. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللّهِ إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلاَ مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ


Maksudnya: Manusia itu mempunyai Pengiring (Malaikat) yang mengikutnya, di hadapan dan di belakangnya; mereka menjaganya atas perintah Allah Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka. Dan apabila Allah hendak mendatangkan bahaya kepada sesuatu kaum, tiadalah dapat ditolak dan mereka (manusia) tidak mempunyai pelindung selain dari Allah.

Hijrah juga mengajarkan kita betapa pentingnya sikap cekal di dalam diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah dengan merasai ranjau kepayahan, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga serta penyeksaan merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental kepada generasi muda masa kini. Kecekalan mereka yang berteraskan keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t pasti benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan tersungkur hina. Berbekalkan penghayatan nilai kecekalan inilah maka barisan pelapis umat ini berupaya cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran alaf baru. Kecanggihan teknologi dan kelicikan tipu daya musuh Islam serta golongan munafik, tidak akan mampu menahan generasi ummah bangun mempertahankan Islam. Malahan usaha dan semangat mereka semakin bertambah untuk bersaing seterusnya menerajui ketamadunan manusia yang bernaungkan Islam. Kekuatan sedemikian akan dapat dicapai menerusi singkapan sejarah kecekalan para Muhajirin dan Ansar di dalam peristiwa hijrah. Oleh itu generasi umat Islam mestilah celik sirah nabawiah bagi mengambil bekalan yang sepenting ini.


Disediakan Oleh : Ustaz Haji Mohd. Nawi bin Haji Ismail

12 February 2009

Panduan Atasi Zina Hati


Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan. Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati. Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.


Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu. Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis.” Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih.” - (Surah Yusuf, ayat 24)

  • Ikhlas kepada Allah. Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: “Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.
  • Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah. Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.
  • Mengurus mata dan pandangan. Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh. Ibnul Qayyim menyatakan: “Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya.”
  • Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik. Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan.

Kriteria-Kriteria Lelaki Soleh


Soleh dapat di definisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman (mukmin), bersih dari segi zahir dan batinnya, mengambil makanan yang bersih dan halal(bukan dari sumber yang haram)serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang akan mendorong kearah maksiat dan menariknya ke jurang NERAKA yang amat dalam. Lelaki soleh juga ialah seorang lelaki yang sentiasa taat kepada Allah swt. dan RasulNya walau dimana sahaja mereka berada dan pada bila bila masa sahaja. Amal soleh pula apabila dilakukan yang paling betul dan bertepatan dengan syari'at Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah S.A.W.


KRITERIA-KRITERIA LELAKI SOLEH SEPERTI YANG DIMAKSUDKAN OLEH AL QURAN DAN AL HADIS

1. Sentiasa taat kepada Allah swt dan Rasullulah saw.
2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidupnya.
3. Mati syahid adalah cita cita hidup yang tertinggi.
4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran dari Allah swt.
5. Ikhlas dalam beramal.
6. Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.
7. Sangat takut kepada ujian Allah swt. dan ancamannya.
8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.
9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.
10. Solat malam menjadi kebiasaannya.
11. Tawakal penuh kepada Allah taala dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah swt
12. Selalu berinfaq samaada dalam keadaan lapang mahupun sempit.
13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.
14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi mungkarnya.
15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.
16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi kebodohan manusia, sentiasa saling koreksi sesama islam dan tawadhu penuh kepada Allah swt.
17. Kasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.

Sumber : iluvislam.com

11 February 2009

Etika pergaulan dan batasan pergaulan diantara lelaki dan wanita mengikut perspektif Islam

1.Menundukkan pandangan:ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman-NYA; Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an-
Nuur: 30)Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan
pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an-Nuur: 31)

2.Menutup Aurat;ALLAH berfirman dan jangan lah mereka mennampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (an-Nuur: 31)Juga Firman-NYA; Hai nabi, katakanlah kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (an-Nuur: 59).Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis. Dari Abu Daud Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.

3.Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita;Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas.Sebagaimana firman-NYA; Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab. (al-Ahzaab: 53)


4.Tidak berdua-duaan Di Antara Lelaki Dan Perempuan;Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5.Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan):Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT; Hai isteri-isteri Nabi,kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (al-Ahzaab: 32)Berkata Imam Ibnu Kathir; Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)


6.Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis;Dari Maqil bin Yasar r.a. berkata; Seandainya
kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir)Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. (Ash-Shohihah 1/448) Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya. Dari Aishah berkata; Demi ALLAH, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat.
(Hadis Riwayat Bukhari)Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita
selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW; Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud)Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman-NYA; Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya

Tabah Terhadap Kesusahan Untuk Agama


Tidak mungkin bagi orang yang lemah seumpama kita untuk menanggung kesusahan dan kepayahan dalam menyebarkan agama sebagaimana yang telah ditanggung oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Malah berniat untuknya pun adalah susah.

Kitab-kitab sejarah penuh dengan kisah-kisah sedemikian tetapi untuk beramal dengannya telah menjadi perkara yang asing. Malah kita tidak ingin pun bersusah-payah untuk mengambil tahu tentang kisah-kisah tersebut.

Dalam bab ini dinukilkan beberapa kisah sebagai contoh. Saya memulakan dengan kisah Nabi Muhammad s.a.w kerana menyebut Baginda ialah asbab keberkatan. Perjalanan Nabi s.a.w ke Taif Setelah mendapat tugas kenabian, Nabi s.a.w menjalankan usaha dakwah di Mekah selama sembilan tahun dan terus berusaha demi petunjuk dan islah kaum Baginda s.a.w.

Dikalangan orang yang menolong Baginda s.a.w, terdapat hanya segolongan kecil daripada mereka yang telah menerima Islam serta segelintir orang yang masih belum memeluk Islam. Kebanyakan orang kafir Mekah berusaha sedaya upaya untuk menyusahkan dan mempersendakan Baginda s.a.w serta para Sahabat r.a dengan berbagai-bagai cara tanpa melepaskan sebarang peluang yang ada. Bapa saudara Baginda s.a.w, Abu Talib juga ialah antara mereka yang baik hati. Walaupun tidak memeluk Islam, dia tetap membantu Baginda s.a.w dalam semua segi.

Selepas sepuluh tahun baginda s.a.w menjadi nabi, apabila Abu Talib meniggal dunia, orang kafir pun mendapat lebih banyak peluang untuk menghalang penyebaran Islam dan meyeksa orang Islam dengan berbagai-bagai cara secara terbuka. Nabi s.a.w telah pergi ke Taif dengan anggapan bahawa di sana ada kabilah Thaqif yang ramai bilangannya. Sekiranya kabilah tersebut memeluk Islam maka kaum muslimin di Mekah akan mendapat keselamatan daripada segala kesusahan tersebut dan Taif akan menjadi pusat penyebaran Islam.

Setelah tiba di sana, Baginda s.a.w telah berbicara dangan tiga pembesar yang dianggap tinggi darjatnya. Baginda s.a.w menyeru mereka kepada agama ALLAH dan berusaha menarik perhatian mereka untuk membantunya. Walaubagaimanapun, mereka bukan sahaja tidak menerima ajaran Baginda, sebaliknya telah menjawab secara kasar dan tidak berakhlak sekali. Sekurang-kurangnya mereka patut melayan tetamu yang baru datang dengan baik sesuai dengan sifat suka melayan tetamu yang memang termashur di kalangan bangsa Arab. Sebaliknya mereka telah menjawab secara kasar. Mereka juga tidak rela Nabi s.a.w tinggal di sana. Nabi s.a.w menganggap mereka yang merupakan pembesar kaum ialah orang yang baik dan akan bercakap dengan sopan tetapi salah seorang daripada mereka telah berkata:

"Hoi! Engkaukah orangnya yang ALLAH hantar sebagai nabi?"

Orang yang kedua pula berkata,"Tidakkah orang lain daripada kamu yang ALLAH temui untuk diutus sebagai Nabi?"

Orang yang ketiga pula berkata,"Aku tidak ingin bercakap dengan kamu, kerana kalaulah kamu sememangnya nabi sebagaimana didakwa maka mengingkari percakapanmu mandatangkan musibah dan sekiranya kamu seorang pendusta, aku tidak ingin bercakap dengan orang seumpama itu."

Apabila Nabi s.a.w tiada menaruh harapan lagi terhadap pembesar-pembesar itu, Baginda s.a.w cuba bercakap-cakap pula dengan orang lain kerana Baginda s.a.w ialah seorang yang mempunyai hemah dan kecekalan seumpama gunung. Malangnya tiada seorang pun yang sanggup menerima. Bukan sahaja mereka tidak menerima bahkan telah berkata kepada Nabi s.a.w, "Keluarlah dari bandar kami ini serta-merta. Pergilah ke mana-mana yang kamu suka."

Apabila Baginda s.a.w sudah langsung tiada menaruh harapan lagi terhadap mereka maka Baginda s.a.w telah memulakan langkah untuk pulang. Mereka telah menghantar budak-budak untuk mengejar, megejek,mempersendakan dan melontari Baginda s.a.w dengan batu hinggakan kedua-dua kasut Baginda s.a.w dilumuri dengan darah yang mengalir. Dalam keadaan itulah Nabi s.a.w pulang. Apabila Baginda s.a.w sudah selamat daripada pengacau-pengacau tersebut, Baginda s.a.w berdoa:

Mahkfum doa nabi : "Ya ALLAH, kepadaMU aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya-upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya! Arhamarrahimin! Engkaulah Tuhan orang yang ditindas. Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang menguasaiku? Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatMu sudah cukup buatku. Aku berlindung dengan nur wajahMu yang menerangi segala segala kegelapan dan teratur di atas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada Engkau menurunkan kemarahanMu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. KepadaMulah aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya (untuk melakukan kebaikan) dan tiada upaya (untuk meninggalkan kejahatan) kecuali denganMu."

Dengan doa sedemikian, bersemaraklah sifat qahhar ALLAH s.w.t, Raja segala kerajaan. Lalu Jibrail a.s datang memberi salam dan berkata, "ALLAH s.w.t telah mendengar perbualan kaum itu dengan tuan dan telah mendengar jawapan mereka serta menghantar satu malaikat yang bertanggungjawab ke atas gunung-gunung. Perintahkan sahaja malaikat itu supaya melakukan apa-apa yang tuan kehendaki." Selepas itu, malaikat tersebut memberi salam dan berkata,"Saya akan menunaikan segala yang diperintahkan supaya saya melagakan bukit-bukau di kedua-dua arah supaya mereka semua akan hancur atau apa-apa sahaja hukuman yang tuan tetapkan." Baginda s.a.w ialah seorang yang amat pengasih lagi belas kasihan. Baginda s.a.w telah memberi jawapan,"Aku tetap menaruh harapan kepada ALLAH bahawa walaupun mereka ini tidak memeluk Islam, pasti akan lahir orang yang akan menyembah ALLAH s.w.t dan beribadat kepadaNya di kalangan anak-anak mereka."

Iinilah dia akhlak peribadi mulia seorang yang kita kononya berbangga-bangga menjadi pengikutnya. Sebaliknya, apabila kita sendiri mengalami sedikit kesusahan atau kita dilempari dengan kata-kata kesat, kita akan menjadi begitu marah sehingga kita menaruh perasaan dendam yang tidak akan padam-padam seumur hidup kita terhadap orang yang telah menyakiti kita. Kezaliman demi kezaliman kita lakukan ke atasnya sedangkan kita mengaku yang kita ialah pengikut Nabi Muhammad s.a.w yang mengikut jejak langkah Baginda s.a.w. Setelah menaggung kesusahan dan penderitaan yang sebegitu dasyat, Baginda s.a.w sendiri tidak pun mendoakan keburukan ke atas mereka dan tidak juga mengambil sebarang tindakbalas.

Tentang Kita


Saat demi saat berlalu, setitis demi setitis darah saudara kita yang berada di Palestin, Iraq, dan Afghanistan ditumpahkan. Segolongan besar tidak sedar akan hal ini, dan apa kurangnya bagi yang sedar, hanya mampu menangis dan berdoa untuk mereka. Kita tidak mampu bangkit mengangkat pedang menentang golongan kafir sepertimana Mus’ab bin Umair melindungi panji Islam. Kita lalai dengan zon selesa yang diberikan dan tidak sedar bahawa zon selesa boleh bertukar menjadi zon ‘merah’ secara tiba-tiba.

Perang saraf yang dirancang berjalan dengan lancar sehingga mereka mampu menyebabkan kita mengubah huruf alif ‘ا’ kepada huruf ‘A’ dan penindasan terhadap orang islam dikatakan perkara rutin. Mata ini hanya mampu melihat anak-anak kita disepak-sepak, gadis-gadis kita diratah-ratah dan pemuda-pemuda kita di’anjing-anjing’kan oleh golongan yang dahulunya pernah menuntut ilmu dari kita, menjadikan kita sebagai ikutan dan contoh pada zaman Abbasiyah. Saksikanlah! Bagaimana keadaan kita pada zaman ini! Sungguh! Apabila dikatakan perkataan Islam pada mereka, ‘Cis! Ajaran pengganas!’

Persoalannya, bukan “Mengapa terjadinya perkara ini?”, tetapi “Bagaimana terjadinya perkara ini?”.
Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya umat akhir zaman umpama buih-buih di lautan, banyak, tetapi hancur apabila dihempas ombak.” Rentetan kewafatan Nabi Muhammad, bermulalah era umat akhir zaman. Islam berkembang pesat melalui pentadbiran berlandaskan syariah oleh Khulafa Ar-Rasyidin hingga ke Empayar Turki Uthmaniah. Langit tidak selalu cerah, pembai’ahan Kamal Attartuk iaitu seorang sekularisme, membezakan antara dunia dan akhirat, sebagai pemimpin Turki, menamatkan kegemilangan umat Islam dengan pemansuhan sistem khalifah, pengubahan bahasa Arab dan pengharaman pemakaian hijab. Maka, bermulalah era penderitaan umat islam.

Tetapi, tidak lama selepas itu, cahayaNya tidak pernah padam, datangnya dari Mesir, Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwanul-Muslimin, menyimpulkan kembali hati-hati yang sudah terlerai. Perjuangan beliau terhenti setelah beliau dibunuh oleh askar Raja Farouk. Beliau menggariskan 7 faktor-faktor kejatuhan umat Islam, antaranya, percakaran politik, semangat assobiah, perebutan kuasa, perselisihan soal agama, bergelumang dengan kemewahan dan kesenangan terutama dikalangan pemerintah. Hati insan yang dahulunya menyintai Maha Pengasih melebihi kekasih sudah berubah. Arak, perempuan dan judi mula digilai. Mengapa?!

Kerana Al-Quran bukan lagi perlembagaan hidup kita! Nilailah diri kita sendiri, di manakah letaknya kita? ‘Assignment’, ‘chatting’, ‘couple’ dan sebagainya menyebabkan kita lupa pada Sang Pemberi, kita lupa apa tujuan kita hidup, kita lupa bahawa semua ini adalah pinjaman sementara.

Dulunya, dengan berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah, kita dihormati, disegani dan ditakuti, sehinggakan pada zaman pemerintahan Khalifah Saidina Ali bin Abu Talib, apabila berlakunya konflik dengan Muawiyyah dan ketika itu tentera Kristian cuba mengambil kesempatan, Muawiyyah mengutuskan surat kepada Maharaja Kristian tersebut; “Jangan kau tertipu dengan perbalahan kami. Sekiranya kau menentang Ali, nescaya kau akan lihat orang yang menghukummu itu adalah Muawiyyah.” Akhirnya, tentera Kristian berundur kerana ketakutan. Nah! Kafir yang berundur kerana ketakutan inilah yang sudah memijak-mijak kita sekarang.

Mungkin atas kenikmatan, kesenangan yang kita miliki ini, mungkin menjadi hijab bagi kita untuk merasakan bahaya yang sebenar disebaliknya. Apakah kita masih ingin duduk, meminum kopi, dan bergoyang kaki sambil bergelak ketawa. ‘Enjoy when you are still young, Nevermind!

Adakah mustahil bagi kita untuk menegakkan kembali syiar Islam di dunia ini? Ini semua bukan ditentukan oleh kita sebaliknya Allah S.W.T. Bukankah ini satu kewajipan bagi kita? Ataupun mungkin sekurang-kurangnya kita dapat melaksanakan seperti apa yang diperkatakan oleh Abdul Wahab Azam iaitu, “usaha dakwah mestilah dimulakan dari bawah seperti mana kata Syakib; ‘Tiada cara lain. Ia adalah khemah tanzim dan penyusunan barisan terdidik dengan tarbiyah Islam yang sejati. Bukan dewan perhimpunan atau seminar. Ia adalah dengan api semangat yang merdeka, bukan sinaran bintang. Dirikanlah khemahmu di padang pasir jahiliyah kurun kedua puluh ini dan nyalakanlah apimu supaya ia dilihat oleh orang yang sesat dan terputus hidayah, supaya mereka menuju kepadanya dan bernaung didalam khemah itu.”




Adakah Anda Mahu Tenggelam?


Dalam hidup bermasyarakat, seringkali kita tidak lekang dengan ungkapan privacy, kehidupan sendiri dan macam-macam lagi. Kita tidak suka jika perihal kita dan tata cara hidup kita diganggu gugat oleh orang lain. Bahkan dengan yang demikian timbullah peribahasa “jangan ganggu tepi kain orang”.

Tetapi sedarkah kita, bahawa dalam hidup bermasyarakat, kita bukanlah hidup berseorangan. Kita adalah ibarat sebuah kapal yang diketuai oleh ulil amri (pemimpin-pemimpin) yang terpercaya. Kapal dan bahtera masyarakat ini lah yang membawa kita sama ada ke arah kejayaan yang gemilang atau pun kehancuran.

Sungguhpun manusia ini hidup diatas daratan, tetapi selayaknya hidup kita adalah lautan yang penuh gelora dan tidak selalunya tenang. Maka Allah dan Rasul telah menetapkan aturan hidup yang cantik, indah dan sempurna sebagai jalan hidup.

Tetapi, malang dan sangat kesal sekali bilamana kita tidak menurut apa yang telah lama kita ketahui. Kita hanya pandai bercakap undang-undang Islam, hukum Islam dan macam-macam lagi tentang Islam. Tetapi, adakah Islam itu tertegak hanya dengan kata-kata tanpa apa-apa tindakan? Adakah tamadun Islam itu sendiri gah dengan ucapan-ucapan kosong?

Kalau lah benar Islam ini tertegak sebegitu mudah, Rasulullah tidak perlu berdakwah ke merata tempat. Kalaulah benar Islam ini tertegak dengan kata-kata, kenapa makam sahabat banyak di serata pelusuk dunia. Kalaulah Islam ini tertegak dengan kata-kata, kenapa perlu mujahid setia mengangkat pedang menaikkan maruah Islam?

Islam ini bukan tertegak dengan kata-kata sahaja! Islam ini tertegak dengan perbuatan yang selaras dengan apa yang diucapkan berpandukan Quran dan Sunnah. Dan dalam kita hidup bermasyarakat juga, dalam bahtera perpaduan tidak kira anda agama apa pun, anda bayangkanlah, jika kapal yang anda naiki itu dilubangi atau dirosakkan oleh segolongan pihak.

Contohnya, ada segolongan lelaki cuba melubangkan lantai bahtera itu dan anda berdiri disitu, sedang suasana luar kapal itu penuh gelora dan lambungan ombak. Adakah anda akan berdiam diri? Adakah anda akan duduk disitu sahaja dan anda akan berkata, “Ini bukan hal aku. Aku tak buat apa pun. Biarlah diorang”.

Adakah anda akan berdiam diri kerana anda tahu yang jika kapal itu dilubangkan, maka anda akan turut tenggelam dan mungkin sekali anda juga bersalah kerana tidak mencegah apa yang dilakukan itu. Inilah masyarakat. Inilah yang sedang terjadi kepada masyarakat.

Bilamana pelaku kerosakan dan pembuat dosa dan maksiat bebas mengatakan yang urusan mereka adalah hak mereka sahaja, bahkan dengan lantang mengatakan, “Suka hati akulah. Kubur masing-masing. Aku tak susahkan orang lain”. Peminum arak, penzina, pelaku maksiat memang melakukan dosa itu sendiri tanpa mudharatkan orang lain secara zahirnya. Tetapi azab Allah tidak hanya tertimpa pada satu golongan manusia sahaja.

Mahukah nanti bilamana kita bertanya kepada Allah: “Ya Allah, kenapa aku diazab sedangkan aku tidak lakukan apa yang mereka lakukan??. Lalu Allah menjawab, “Apakah tanggungjawab mu yang telah Ku berikan ilmu dan hidayah sedangkan kau tak berani membetulkan kaum mu?”

Bilamana kapten kapal kita juga melakukan silap dalam menakhoda kapal itu bahkan kita ketahui yang kapal itu jika terus berada pada laluan yang diterajui nakhoda kapal itu akan menyebabkan kapal yang kita naiki akan karam, adakah kita akan mendiam diri bahkan mungkin sekali berkata, “Nakhoda hebat membawa kami ke jalan yang hebat”. Sedangkan kita tahu di hadapan penuh batu dan karang yang akan merobekkan badan kapal dan menyebabkan kita semua lemas. Adakah itu yang kita akan lakukan?

Sedarlah, kita ini adalah bahtera yang dirangkumkan menjadi satu ummat. Bilamana ada nya kemungkaran dimata kita dan tidak kita berani untuk mencegah bahkan tidak terasa untuk membenci, akan sampai satu ketika kapal ummat ini akan terus lemas dalam kejahilan sehingga sampai ummat yang akan menggantikan kita dan memerangi kejahilan itu. Fikirkanlah, adakah kamu akan menjadi ummat yang tenggelam atau yang akan membetulkan kapal ini?


"Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya)." [7:64

Sesaat Di Dunia


Kenapa kini kita manusia terkejar-kejarkan dunia hingga terabai agama?Adakah kita lupa?
Memang diakui dunia itu masih dalam keperluan kita...Nabi sallallahu alaihi wasallam sendiri masih mengisi keperluan dunianya tetapi tidak sampai mengabaikan akhirat. Masih ada satu lagi kehidupan yang kekal iaitu akhirat yang Allah janjikan balasannya, amatlah indah jika cukup amalan kita. Pernah saya terbaca, jika kita memasukkan kehebatan dunia maka tercabutlah kehebatan Allah dari hati kita. Astaghfirullahalazim.
Bukanlah bertujuan untuk meminta kita terus meninggalkan segala urusan dunia tetapi wajar kita iringi urusan dunia itu dengan urusan akhirat. Kita perlu mengadaptasikan agama itu dalam kehidupan. Kita tidak dapat memisahkan kedua-duanya jika kita mahu keselamatan di akhirat kelak.


Adakah bergetar hati kita jika disebutkan kalimah Allah di hadapan kita? Adakah mengalir airmata kita jika dibacakan segala kisah perjuangan dan jerih payah mereka,para sahabat dalam menyampaikan agama?

Tetapi bagaimana pula jika didengarkan lagu-lagu yang syahdu?
Putus cinta?
Jatuh cinta?
Pasti terbuai-buai hati kita terasa seperti lagu tersebut menceritakan kisah kita sehingga adakalanya menitiskan air mata.
Bagaimana kita terleka dari mengingati mati?
Bagaimana kita terleka dari mengingati akhirat?
Bagaimana kita boleh meletakkan dunia itu matlamat pertama?
Jawapannya,muhasabah diri kita kembali...

Adakah kita sering berfikir tentang kebesaran Allah?
Adakah kita sering menceritakan kebesaran Allah?
Hati itu memerlukan makanan rohani. Apakah makanan rohani kita?
Pelbagai amalan yang boleh kita lakukan,contohnya membaca Al Quran. Al Quran itu ibarat setitis air yang apabila dititiskan dari hari ke hari ke atas batu maka berlubanglah ia. Begitu jua Al Quran, jika dibaca sentiasa maka, akan mendapat nur hati kita dengan izin Allah.
Kadangkala, apabila kita berkumpul bercerita tentang kebesaran Allah,bukan saja tujuan kita untuk menyampaikan tetapi jua memberi peringatan kepada diri sendiri.Syaitan akan sentiasa menggoda kita hingga ke akhir kalam.

Mengucapkan kalimah syahadah itu begitu mudah bukan? Tetapi apabila di akhir kalam, syaitan semakin kuat menggoda kita supaya lalai mengucapkan kalimah itu. Jadi, bukanlah semudah yang disangka untuk mengucapkan kalimah itu.Barangsiapa dapat mengucapkan kalimah itu di akhir kalamnya, maka wajiblah syurga baginya.
Tetapi bagaimana jika kehidupan selama ini kita biarkan nafsu dan syaitan menguasai hati dan tiba saja di akhir kalam kita mahu mengucapkannya? Mungkin terjadi dengan izin Allah tetapi segala penentu di akhir hayat kita ialah sebanyak mana amal kita dan bagaimana iman kita. Itulah segala penentu di akhirat kelak yang memang pasti muncul dalam beberapa ketika kita hidup di dunia...

Sama-samalah kita muhasabah diri,ambillah beberapa saat yang ada untuk merenung sedalam-dalamnya keadaan kita di dunia sebelum dipindahkan ke alam yang kekal abadi.
Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab kelak, dan timbang-timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang kelak...

Mukjizat Al-Qur'an Mendahului Sains

Remaja hari ini cerdik, pintar dan berpelajaran berdasarkan akademik serta fakta sains. Ini mungkin kerana sistem pendidikan yang menekankan dan memberi penumpuan dalam bidang sains. Tidak hairanlah remaja hari ini mengenali nama saintis dan kagum dengan penemuan mereka. Penciptaan teknologi canggih membantu penemuan baru rahsia alam. Seperkara yang remaja patut tahu, penemuan baru ini selari dengan penyataan al-Qur'an malah ia sudah lama disebut dalam kitab suci itu. Jika kita boleh berbangga dengan penemuan sains semestinya kita patut lebih takjub dengan kecanggihan al-Quran berabad dahulu mendahului zaman, malah manusia memerlukan masa yang panjang ribuan tahun memahami sentuhan ayat al-Quran mengenai alam dan sains.

Antara ayat mengenai sains ialah yang berkaitan dengan pengembangan alam.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan, langit Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami. Sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.”
Ayat ini menceritakan mengenai pengembangan alam. Ini bermaksud langit diluaskan oleh Allah. Allah sudah menyatakan ribuan tahun dahulu, jika ada orang yang menolak al-Quran kerana menyangka dirinya maju dengan sains, sepatutnya tunduk dengan fakta ini. Pada tahun 1929 Edwin Hubble dengan menggunakan alat canggih meneropong ke langit mendapati alam ini sebenarnya mengembang dan membesar malah saintis sekarang ini berupaya mengukur kelajuan pengembangan alam.
Kedua, ayat berhubung teori Big Bang. Hal ini sudah lama disentuh ribuan tahun dulu dalam surah al-Anbia': 30, bermaksud: “Apakah orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum satu kemudian Kami pisahkan (letupkan) antara kedua-duanya.”
Maknanya langit dan bumi asalnya melekat bercantum, Allah pisahkan antara keduanya dengan udara. Teori Big Bang diasaskan oleh formula umum ‘Theory Of Relativity’ oleh Einstein 1915, kemudian disahkan pakar fizik Rusia pada 1922. Pada 1929 teori ini disahkan Edwin Hubble. Cuba bayangkan hakikat yang ditemui pada abad 20 ini telah dijelaskan oleh al-Quran sejak 1400 tahun dulu.


Segala penemuan ini selari penyataan ayat al-Quran yang menunjukkan al-Quran “Kalamullah” kerana ilmu sains belum berkembang pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w), tambahan pula tiada sebarang kemudahan yang tidak memungkinkan manusia mengetahui asal-usul alam ini. Benarlah al-Quran bukan ciptaan Muhammad. Jadi tidak hairan sekiranya orang Islam mendahului bangsa lain dari sudut ketamadunan. Ini kerana al-Quran berada di hati mereka, sebagaimana disebut dalam pertemuan lalu al-Quran bukan hanya dibaca tapi juga untuk memakmurkan alam ini. Percikan daripada kehebatan al-Quran inilah terbinanya tamadun di Iraq, Sepanyol, Turki, India , Afrika dan Barat mempelajari daripada Islam seterusnya mengembangkan lagi menurut acuan mereka. Yang tidak seronoknya mereka menimbus serta memadamkan sumbangan Islam dalam dunia sains malah memutar belit fakta sejarah dengan menuduh Islam tidak menyumbang apa-apa.
Justeru, dalam menimba ilmu, remaja jangan lupa melihat sejarah tamadun Islam. Belajar di Barat untuk mencari ilmu bukan satu kesalahan, yang kita bimbang sebelum dapat ilmu sudah jadi Barat, pergaulannya, pakaiannya dan budayanya. Marilah kita maju dengan acuan dan budaya kita sendiri, berpaksikan al-Quran, sunnah.