HIJRAH MEMBAWA KEKUATAN UMMAH


Penghijrahan kaum Muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah adalah merupakan satu dimensi baru kepada dakwah Islamiah dan seterusnya penghayatan kepada ajaran Islam yang sebenar. Penghijrahan umat Islam dari suasana yang lama iaitu Mekah kepada satu suasana baru iaitu Madinah adalah detik terpenting kepada pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia.

Penghijrahan yang merupakan proses kematangan penyebaran risalah Allah s.w.t ini tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru. Sejarah telah menukilkan bagaimana Rasulullah s.a.w menanamkan benih-benih perpaduan, persaudaraan, tolong menolong, pengorbanan, kesungguhan, kecintaan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah unsur-unsur terpenting bagi umat Islam ketika itu sebagai persediaan menghadapi cabaran dan ujian yang datangnya sama ada dari kaum Musyrikin Quraisy, golongan munafik, tipu daya iblis atau dari nafsu di dalam diri mereka sendiri.

Firman Allah di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ



Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah akan menolong kamu dalam mencapai kemenangan, serta meneguhkan tapak pendirian kamu. Muhammad, ayat 7.

Demikianlah keadaan kita umat Islam masa kini. Perubahan zaman, tamadun, budaya dan teknologi manusia hari ini yang begitu pantas sebenarnya menghambat umat Islam melakukan persediaan dan persiapan yang mantap bagi menghadapi perubahan dan kejutan tersebut. Ini penting bagi memastikan dakwah Islamiah dan perjuangan menegakkan Syiar Islam sentiasa lancar, maju dan berjaya di tengah-tengah arus perubahan dunia.

Perubahan teknologi dan kemajuan manusia yang begitu pesat benar-benar meletakkan umat Islam berada dalam keadaan tiada pilihan selain dari menyiapkan barisan pelapis generasi muda bukan setakat menghadapi ledakan perubahan bahkan meneruskan perjuangan memartabatkan Islam sebaga sebagai satu cara hidupi muka bumi Allah ini.

Merujuk kepada ciri-ciri hijrah bentuk baru yang perlu ditampilkan, penghijrahan nilai, etika dan peradaban hidup perlu diberi perhatian khusus dalam membentuk sebuah negara menuju alaf baru dan sejahtera. Tiada gunanya kita maju ke hadapan dalam bidang teknologi dan kecanggihan maklumat, tetapi jiwa kita kering kontang dan senang dibawa arus hawa nafsu yang dikepalai oleh iblis dan syaitan. Kita perlu wujudkan keseimbangan kemajuan di sudut rohani dan jasmani.

Dunia tanpa sempadan, perdagangan elektronik, era digital, teknologi maklumat, jenayah siber, perlumbaan ilmu, kuasa ekonomi, kekuatan teknologi dan banyak lagi adalah cabaran yang hanya mampu diharungi oleh generasi umat yang bersedia dari segi mental, fizikal dan spiritual dalam melangkah menuju ke alaf baru. Penghayatan kepada pengajaran di sebalik peristiwa hijrah dan bersesuaian dengan fenomena sekarang, maka umat Islam perlu kepada kekuatan yang berupa keyakinan, kematangan, ilmu, kecekalan, kesungguhan dan kesatuan. Inilah unsur-unsur yang perlu dimiliki dan dibentuk kepada generasi umat Islam sekarang dalam meneruskan perjuangan risalah Islam dalam arus perubahan alaf baru.

Perjuangan meneruskan misi Rasulullah s.a.w di muka bumi ini iaitu meninggikan kalimah Allah sehingga menjadi rahmat kepada sekalian alam, memerlukan keyakinan yang tinggi dan mantap. Generasi ummah perlu yakin bahawa berbekalkan keimanan, semangat jihad dan panduan berasaskan al-Quran dan as-Sunnah maka sudah pasti perjuangan menyampaikan risalah Islam akan berjaya dan mendapatkan pertolongan serta inayah daripada Allah s.w.t. Keyakinan yang bertitik tolak dari kefahaman Islam yang sebenar berteraskan akidah tauhid adalah sumber kekuatan menempuh pelbagai perubahan hidup dan sistem masyarakat dunia. Bahkan dengan keyakinan ini juga, generasi pelapis akan melihat perubahan-perubahan yang pesat berlaku itu bukanlah halangan yang membantutkan perjuangan, akan tetapi merupakan peluang yang mesti direbut bagi menjayakan pelaksanaan tanggungjawabnya sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Oleh itu, maka generasi muda umat ini perlulah memantapkan kefahaman mereka menerusi akidah tauhid menerusi mendalami ilmu agama, penghayatan al-Quran, mengkaji sejarah dan perjuangan Rasulullah s.a.w, perbincangan ilmiah sesama para cendekiawan Islam dan yang lebih penting menguatkan hubungan dengan Allah dengan membanyakkan solat, doa, dan ibadat-ibadat sunat.

Jika generasi Islam ini mempunyai keyakinan, pasti jalan-jalan menuju kejayaan akan terbentang. Penghijrahan minda umat ini perlu dilakukan agar berani menghadapi cabaran terutama dengan kewujudan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang memerlukan tenaga mahir dalam bidang teknologi maklumat. Amat menyedihkan jika MSC dipenuhi dengan wajah-wajah orang asing yang mengaut keuntungan sedangkan bangsa kita terpinggir. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللّهِ إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلاَ مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ


Maksudnya: Manusia itu mempunyai Pengiring (Malaikat) yang mengikutnya, di hadapan dan di belakangnya; mereka menjaganya atas perintah Allah Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka. Dan apabila Allah hendak mendatangkan bahaya kepada sesuatu kaum, tiadalah dapat ditolak dan mereka (manusia) tidak mempunyai pelindung selain dari Allah.

Hijrah juga mengajarkan kita betapa pentingnya sikap cekal di dalam diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah dengan merasai ranjau kepayahan, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga serta penyeksaan merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental kepada generasi muda masa kini. Kecekalan mereka yang berteraskan keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t pasti benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan tersungkur hina. Berbekalkan penghayatan nilai kecekalan inilah maka barisan pelapis umat ini berupaya cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran alaf baru. Kecanggihan teknologi dan kelicikan tipu daya musuh Islam serta golongan munafik, tidak akan mampu menahan generasi ummah bangun mempertahankan Islam. Malahan usaha dan semangat mereka semakin bertambah untuk bersaing seterusnya menerajui ketamadunan manusia yang bernaungkan Islam. Kekuatan sedemikian akan dapat dicapai menerusi singkapan sejarah kecekalan para Muhajirin dan Ansar di dalam peristiwa hijrah. Oleh itu generasi umat Islam mestilah celik sirah nabawiah bagi mengambil bekalan yang sepenting ini.


Disediakan Oleh : Ustaz Haji Mohd. Nawi bin Haji Ismail

Comments

Popular Posts